بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ.
الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ اهدِنَا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ
Penutup 2022, kami sekeluarga dirahmati dua kebahagiaan dan diuji dengan dua bentuk kesedihan. Allah Maha Baik, Maha Pengasih, Maha Penyayang. Bahagianya kami kerana usai melaksanakan ibadah umrah bersama Bonda tercinta dan selamat kembali ke tanah air. Berita sedihnya apabila terpaksa melangkah meninggalkan Haramain. (Semoga dikurniakan rezeki untuk kembali ke sana lagi.)
Allah jua Maha Mengatur kerana Dia jua yang Maha Mengetahui segala yang terbaik untuk semua hambaNya. Dalam redha, dalam pasrah, dalam sedih, kami akur waktunya telah tiba Ibunda tercinta kembali kepada Penciptanya. 30 Disember 2022, subuh Jumaat yang barokah, penamat kisah bagi riwayat Sellod Bt Topboh @ Safiah Bt Abdul Rahman, wanita yang telah berjuang melahirkan dan membesarkan kami sembilan beradik dengan penuh kasih sayang.
Mama disahkan menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam tidur, beberapa jam sebelum pesawat mendarat di tanah air. Penerbangan paling pilu yang pernah aku lalui. Dengan iringan zikrullah dari corong audio pesawat, dan bacaan yassin daripada kami adik-beradik dan jemaah yang lain.
Alhamdulillah, dengan izin-Nya, urusan jenazah berjalan lancar. Jenazah Mama dipindahkan daripada pesawat ke Hospital Serdang. Allah atur segalanya, kami adik-beradik termasuk adik bungsu yang fly terus dari LD-KL, berpeluang bersama-sama memandikan jenazah Mama, mengkafankan dan solat jenazah bersama. Adik lelaki sempat memberitahu kami, bahawa sebelum Mama tidur dan lena buat selama-lamanya, dia sempat mengajarkan Mama kalimah syahadah, dan arwah sebut dengan jelas. Ya Allah betapa agungnya kasih sayangMu.
Kami rafakkan rasa syukur kepadaNya kerana dipertemukan dengan TA yang sangat dedikasi. Pihak Andalusia membantu pengurusan jenazah ibu kami sejak awal sehingga selesai segalanya. Semoga Allah jua yang membalas segala kebàikan hambaNya.
Semoga 'Kepulangan' Mama mendapat rahmat dan dimuliakan di sisiNya. Semoga Allah mengampunkan segala dosa Mama, menerima dan redha akan segala amal ibadah Mama, dan ditempatkan dalam kalangan para solehin. Aamiin.
اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا
“Ya Allah, ampunilah dosa kami dan dosa kedua orang tua kami dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”
Kredit : FB Nuryati Kangan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan