16 Dis 2022


 MIQAT UMRAH

Miqat dari segi bahasa bermaksud waktu, manakala dari segi istilah bermaksud ketentuan tempat atau masa untuk berniat ihram haji atau umrah. Secara amnya, berniat ihram di Miqat merupakan salah satu perkara wajib haji dan umrah. Miqat terbahagi kepada dua iaitu Miqat Zamani (ketentuan masa) dan Miqat Maqani (ketentuan tempat).

Miqat Zamani (Masa)

Dalam ibadah Umrah, Miqat Zamani ialah sepanjang tahun iaitu selain daripada masa seseorang berihram haji. Manakala, untuk ibadah haji pula, Miqat Zamani bermula dari hari pertama bulan Syawal hingga terbit fajar hari ke-10 bulan Zulhijjah. Tempoh ini juga dikenali sebagai bulan-bulan haji.

Miqat Maqani (Tempat)

Miqat Maqani pula merupakan sempadan tempat terakhir bagi seseorang jemaah dari luar kota Mekah untuk berniat ihram umrah atau haji. Lokasi ini biasanya ditentukan mengikut arah jemaah umrah atau haji datang dan masuk ke Tanah Haram Mekah Al-Mukarramah. 

Antara tempat-tempat bermiqat bagi ihram haji atau umrah yang telah ditetapkan ialah:

1. Yalamlam

Lokasi ini untuk jemaah yang datang dari arah Yaman dan Asia seperti Indonesia, Malaysia, Singapura dan negara-negara Asia lain. Pada satu ketika dahulu, jemaah Malaysia yang menunaikan haji atau umrah menaiki kapal laut mengenakan pakaian ihram dan berniat ihram di atas kapal apabila melalui lokasi ini.

2. Bir Ali atau Zul Hulaifah

Lokasi miqat ini terletak kira-kira 12 km dari Madinah atau kira-kira 450 km dari Mekah. Ia merupakan lokasi miqat bagi jemaah yang datang dari arah Madinah dengan menaiki bas, kereta dan sebagainya.

3. Al-Juhfah

Lokasi miqat bagi jemaah yang datang dari arah Mesir, Syam, Tunisia, Jordan, Lubnan, Palestin dan sebagainya.

4. Zatu Irqin

Lokasi miqat bagi jemaah yang datang dari arah Iraq dan sama arah dengannya.

5. Qarnul Manazil

Bagi jemaah yang datang dari arah Najd, Kuwait dan jemaah Malaysia dan Asia Tenggara yang datang dengan menaiki kapal terbang.

#umrahandalusia

#daftarandalusiatawau

#tawau

#umrah

Tiada ulasan:

Kawasan Tanah Perkuburan Jannatul Baqi, Madinah

Kawasan Tanah Perkuburan Jannatul Baqi, Madinah Rujukan lokasi tanah perkuburan sebagai panduan semua Kredit : Penulis