28 Jul 2020

CORETAN DR. CHACHO BULAH - UMRAH ZIARAH CAIRO BERSAMA ANDALUSIA TRAVEL & TOURS SDN BHD





1) Saya ingin memetik sebuah syair Arab yang berbunyi, "Hendaklah kamu mencontohi orang yang mulia, walaupun kamu tidak seperti mereka, kerana mengikuti orang yang mulia itu satu kejayaan."

2) Bersesuaian dengan syair Arab ini, saya mengandaikan Agen Pelancongan, iaitu Andalusia yang khususnya mengendalikan pakej ziarah Umrah dan pelbagai pakej lagi adalah ibarat "orang yang mulia", sebuah agen pelancongan yang berpengalaman, berketrampilan dan beretika tinggi dalam bidang pengurusan Umrah. Hal ini saya nukilkan secara berterus terang ,ikhlas dan penuh kejujuran berdasarkan kepada pengalaman saya yang mana pengalaman itu adalah merupakan " guru" yang tidak pernah berbohong. Pengalaman juga bukan cerita palsu, rekaan  imaginasi dan khayalan.

3) Secara jujurnya, berbekalkan rezeki berkat yang Allah berikan, saya telah ke Tanah Suci sebanyak empat kali, sekali menunaikan fardhu haji pada tahun 2000 dan disusuli selepas itu saya menunaikan Umrah sebanyak tiga kali melalui berbagai agen pelancongan. Kerinduanku untuk terus berkunjung dan berziarah Umrah ke Tanah Suci sentiasa berkembang mekar menyuburi jiwa sanubariku.

4) Selepas tiga kali menunaikan Umrah, saya berhasrat lagi untuk menunaikan Umrah bagi kali Ke-Empat, iaitu pada akhir tahun 2019, setahun selepas saya bersara wajib selaku penjawat awam  kerajaan. Saya ingin menggunakan keberkatan wang ganjaran perkhidmatan persaraan yang saya telah perolehi. Kali ini, hati saya beriya-iya dan berdetik kuat memilih Andalusia yang berpejabat di cawangan Tawau. Saya tertarik dengan pakej yang disediakan oleh Andalusia. Harga pakej ziarah Umrah saya dapati berpatutan, selain layanan yang diberikan oleh salah seorang kerani kaunternya, sdr Akmal juga mesra pelanggan. Di samping itu, Andalusia menyediakan kursus Umrah secara percuma setiap minggu melalui penceramah yang mahir dan berpengalaman. Walaupun saya sudah beberapa kali berumrah, namun, saya  perlu mengikuti kursus Umrah bagi mengetahui hal hal atau maklumat terkini mengenai perkembangan kota Mekkah dan Madinah yang mungkin kedudukan hotel penginapan dan lain perkara telah mengalami banyak perubahan melalui proses dan evolusi pembangunan semasa.

5) Pengalaman saya bersama isteri melancong dengan mengambil pakej pelancongan ke Kaherah dan seterusnya menunaikan Umrah di Tanah Suci selama 17 hari melalui Andalusia menceritakan segala- galanya, iaitu cerita yang disulami dengan keseronokan dan keindahan. Di samping itu, berlaku beberapa keajaiban  kualami, yang di luar dugaanku, tetapi sangat mengujakan dan menggembirakan, iaitu ;

i ) Pengalaman pertama, saya tidak menduga dan menjangkakan sama sekali bahawa Umrah saya bersama Andalusia ini (dengan izin dan keredhaan Allah) telah berjaya menunaikan keinginan besar saya untuk mendaki Jabal Nur yang terletak kira kira 3.2 km dari Kota Mekkah . Walaupun banyak cabaran getir yang harus ku tempuh dengan pendakian 600 anak tangga  serta batu batu besar di waktu malam, namun cabaran dan berkat kesabaran dan kegigihan itu akhirnya membuahkan hasil apabila saya berjaya sampai  ke  puncak Jabal Nur,seterusnya dapat menjejak kaki masuk ke dalam Gua Hira yang sangat sempit yang  merupakan tempat Rasulullah SAW ( sholawat pada Nabi)  menerima wahyu yang pertama dari Allah melalui Malaikat Jibril. Ketika berada di puncak Jabal Nur dan berada dalam Gua Hira  itulah saya mengenang sejarah betapa getirnya perjuangan dan ujian yang dilalui oleh Rasulullah SAW dalam edisi awal Baginda mula mengembangkan sayap Islam di seluruh penjuru alam yang bermula di Kota Mekkah iaitu detik tercipta di Gua Hira di mana Rasulullah SAW telah menyendiri , bermunajat selain bertahannuth serta bertaqarrub kepada Allah SWT. Detik kejayaan mendaki ke puncak Jabal Nur dan memasuki Gua Hira turut mencatat sejarah dalam diari hidup saya, dimana sebelum ini, saya pernah mengimpikan ke tempat ini beberapa kali iaitu pada masa saya menunaikan fardhu haji pada tahun 2000 dan seterusnya semasa saya menunaikan tiga kali Umrah sebelum ini. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, dan terima kasih kepada kebijaksanaan kepimpinan Ust Mohd. Khairuddin , Mutawif Andalusia yang memberi peluang kepada para jemaah kumpulan kami ke tempat ini.


ii) Pengalaman kedua, para jemaah , termasuk diri saya sendiri telah diberi dan dikongsikan dengan satu berita yang menggembirakan apabila Mutawif Ust Khairuddin memaklumkan pihak pengurusan Andalusia telah bermurah hati untuk membawa jemaah kami secara percuma ke kota Taif yang terletak 80 km dari kota Mekkah.Kota Taif ini juga amat ingin kujejaki kerana kota ini merupakan salah sebuah kota yang bersejarah dimana Nabi SAW pernah berdakwah di kota ini sehingga kehadiran Baginda dihujani dengan lontaran batu batu dari penduduk kota ini yang terdiri dari kabilah Tsaqif.Namun, tindakan mereka itu dibalas dengan kesabaran dan dengan doa Rasulullah SAW yang amat popular, iaitu, "Ya Allah berilah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui". Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana peristiwa seribu lebih tahun yang lalu ketika Nabi SAW berada di tempat ini mengingatkan saya sejarah tersebut. Terima kasih Andalusia yang memberi peluang kapada saya yang buat pertama kali menjejak kaki ke Kota Taif. Ia juga merupakan satu sejarah dalam diari hidup saya.


iii) Pengalaman ketiga, saya  memerhati dan menilai iaitu Pengurusan Andalusia membudayakan konsep berorientasikan kepada nilai pengurusan"Client-First". Konsep pengurusan yang diterapkan oleh Andalusia ini memberi penekanan dengan mendahulukan dan mengutamakan pelanggan mereka. Contoh terdekat ialah penempatan hotel kami. Sepatutnya kumpulan atau jemaah Umrah kami di tempatkan di sebuah hotel di Mekkah milik Andalusia. Namun,  semasa tiba di Mekkah dari Madinah, kumpulan kami ditempatkan di sebuah hotel baru bertaraf lima bintang, iaitu Hotel Hilton Double Tree. Mutawif kumpulan kami memaklumkan bahawa pertukaran tempat hotel kami ini dibuat disebabkan hotel milik Andalusia yang biasa menempatkan jemaah Umrah mereka sedang diperbaiki. Kami merasa bertuah disebabkan penempatan kami di hotel baru Double Tree ini bukan sahaja amat selesa,malah pengangkutan bas disediakan oleh pihak hotel. Bas kecil tersebut bergerak setiap lima minit dari hotel ke kawasan Masjidil Haram yang juga hanya memakan masa sekitar lima minit. 


iv) Pengalaman Keempat, pihak Pengurusan Andalusia berusaha menyediakan Pembimbing Jemaah Umrah atau Mutawif yang bukan hanya mahir, berilmu dan bermaklumat , tetapi juga memiliki jati diri yang berkualiti dengan mesra pelanggan, bersedia mendengar masalah dan cadangan yang diusulkan oleh jemaah Umrah serta berupaya menyelesai setiap masalah secara kolektif.Apa yang menarik, sikap ambil berat serta keriakan wajah yang tenang sepanjang masa juga memberi impak saikologi yang baik yang meyakinkan para jemaah mengenai kepimpinan diri mutawif berkenaan.Mutawif dalam kumpulan kami yang dimaksudkan tersebut ialah Ustaz Mohd. Khairuddin yang kami menyenangi memanggilnya dengan panggilan Ust Khai sahaja.



6) Sebenarnya, banyak lagi pengalaman manis dan indah yang saya lalui dalam kesempurnaan Umrah Keempat saya dengan Andalusia, namun, sekadar berkongsi pengalaman mengenai empat perkara tersebut di atas sudah cukup memadai untuk merungkai dan menyimpulkan bahawa keindahan sesuatu perkara bukan hanya perlu dinilai daripada luarannya sahaja, tetapi keindahan dalaman juga memainkan perkara yang amat penting.Kita perlu tahu membezakan antara kaca dan permata.Juga, setiap potret yang indah bingkainya akan dirasakan potret itu akan nampak hidup jika ia dijiwai oleh sesuatu yang tahu menilai keasliannya yang bernilai tinggi. Segulung  tahniah diucapkan kepada Andalusia Malaysia kerana dapat mengamalkan dan membudayakan konsep pengurusan yang baik, mapan, berkualiti bertaraf lima bintang dalam mengurus dan memberi semampu kepuasan maksima kepada pelanggan, khususnya jemaah kumpulan Umrah Ziarah yang saya sertai selama 17 hari, iaitu pada 21 November - 5/6 Disember 2019.

Syabas Andalusia .....

Coretan Perkongsian Pengalaman daripada :

DR.CHACHO BULAH

Tawau, Sabah

28 Julai 2020



 


Tiada ulasan:

Kawasan Tanah Perkuburan Jannatul Baqi, Madinah

Kawasan Tanah Perkuburan Jannatul Baqi, Madinah Rujukan lokasi tanah perkuburan sebagai panduan semua Kredit : Penulis