7 Jun 2022

 PENGERTIAN IBADAH DAN SEJARAH SAIE


 

Saie ialah perbuatan berlari-lari anak bagi orang yang mengerjakan umrah atau haji dari bukit Safa ke Marwah sebanyak 7 kali.

Saie bermula dengan mengambil Ibrah perbuatan Siti Hajar yang berlari sebanyak 7 kali ulang alik dari Safa ke Marwah dan Marwah ke Safa semula.

Siti Hajar berlari mencari air untuk anaknya Ismail dan dirinya sendiri yang dalam kehausan.

Mengapa sampai tujuh kali? Mengapa seorang ibu yang ditinggalkan dengan bayi kecilnya itu seolah-olah ‘didera’ oleh Allah?

Sedangkan cinta Allah kepada hambaNya melebihi cinta Siti Hajar kepada anaknya Ismail? Mengapa bahasa cinta Allah itu begitu perit dan sakit sekali?

Allah sedang mendidik Siti Hajar agar hatinya kosong daripada sebarang pengharapan kepada makhluk. Pada larian pertama, kedua, ketiga sampailah ketujuh , Siti Hajar masih punya harapan.

Matanya merenung jauh saujana mata memandang, kalau kalau ada kafilah dagang yang singgah atau para musafir yang lalu. Dengan itu dapatlah dia memohon bantuan.

Namun, harapannya hancur berkecai. Bukan sahaja bantuan yang diharapkannya tidak tiba, malah dirinya sendiri sudah kehabisan tenaga.

Aku dan sesiapa sahaja yang pernah melakukan saie pasti dapat merasakan keletihan itu. Sedangkan kita yang berlari dalam ruang yang telah berhawa dingin, lantai yang sejuk dan ada bekalan air zaman zam jika kehausan itu pun terasa kelelahannya.

Apabila ujian sudah sampai ke kemuncaknya, maka ketika itulah bantuan Allah semakin dekat. Ketika segala daya dan usaha sudah dirasakan tidak ada, maka ketika itulah kemudahan sudah hampir tiba.

Allah menguji untuk mendidik hati kita. Hati kita yang keras dan degil hanya tunduk apabila ia dihancurkan oleh pukulan ujian. Tidak ada jalan yang lain.

Antara kejahatan hati ialah tidak mahu bergantung kepada Allah. Hati terlalu bersandar pada kekuatan diri atau masih berharap kepada dunia dan manusia. Hati terlalu berharap dan cinta kepada sesuatu selain Allah.

Selagi diri masih kuat, selagi yang menjadi sandaran masih kukuh, selagi yang dicintai masih memuja...maka hati itu akan terus alpa.

Hati yang begitu ada kalanya dimiliki oleh orang yang bersolat, berpuasa, berzakat dan bersedekah. Ibadah-ibadah lahiriah masih tidak mampu menembusi hati.

Sifat mazmumah yakni bergantung kepada selain Allah masih tidak dapat dilenturkan oleh ibadah-ibadah. Namun, sekiranya Allah sayang, maka dikurniakannya ujian untuk menyelamatkan pemilik hati itu.

Justeru, ujian itu dinamakan sebagai ‘mehnah’ – didikan terus daripada Allah. Ini yang dimaksudkan oleh Ibnu Ataillah, “ada pembukaan pada hatimu yang tidak akan tercapai melalui ibadah seperti solat dan sedekah tetapi oleh datangnya ujian dan musibah.”

Apabila perit ujian sudah begitu menghimpit, barulah diri yang derhaka dan berdosa itu kembali kepada TuhanNya.

Itulah yang dapat aku simpulkan pada kuliah pagi oleh seorang mutawwif Jumaat ini di dewan makan hotel Haneeen Firdaus tempat aku menginap selama mengerjakan umrah di Makkah ini.

Masih terngiang-ngiang katanya, “ bantuan Allah kepada Siti Hajar tiba saat putus segala pengharapannya kepada manusia.”

Ya, saat anaknya menangis kelaparan dan kehausan, sedangkan dirinya sendiri masih dalam keletihan bermusafir dari Palestin ke Makkah, ditambah pula pedih kesedihan ditinggalkan oleh suaminya masih berbekas... maka dialah wanita yang paling teruji di dunia pada waktu itu.

Namun, cinta kepada anak, naluri kasih seorang ibu memaksa dirinya berusaha. Dia pun berlari...

Dari bukit Safa ke Marwah, dipandangnya ke seluruh dimensi, akan adakah kafilah yang lalu, buat dia mohon simpati?

Tidak ada. Lalu terdengar tangisan bayinya Ismail, dia berkejar semula ke Marwah. Di jenguknya seluruh ceruk dan pelusuk, masih tebal harapannya pada makhluk. Kecewa. Tidak ada siapa pun di sana...

Dia beralih semula ke Safa, mana tahu ada sesiapa yang boleh diharap di sana. Dia berlari lagi.. tetapi tenaganya semakin kurang, kakinya semakin lemah, walaupun hatinya masih gagah.

Seketika di Safa, tidak ada apa yang boleh diharap lalu dia berlari semula ke Marwah. Begitulah berulang alik selama tujuh kali. Tujuh kali yang hampa. Tujuh kali yang nestapa.

Akhirnya, dia letih untuk terus berharap. Kakinya membengkak, hatinya terhenyak. Tiada harapan lagi. Suami, manusia dan lain lainnya sudah tidak lagi jadi sandaran.

Pada ketika itu hatinya tertumpu sepenuhnya hanya kepada dan untuk Allah. Hanya Allah.

“Apa yang terjadi pada diri Siti Hajar pada saat yang sangat kritikal itu? , “ tanya Sang Mutawwif. Dalam diam aku menjawab, “hatinya sedang diproses. Di keluarkan semua makhluk, di masukkan ke dalamnya hanya Khalik. 

“Kosong hatinya daripada selain Allah.

Serentak dengan itu terhamburlah segala kesedihan dan ketakutannya. Hatinya menjadi seperti hati semua wali Allah, yakni tidak ada rasa takut dan dukacita tentang hal-hal dunia...”

Penjelasan itu meresap ke dalam hati ku. Sungguh pada ketika itu hilanglah segala resah dan desah hati Siti Hajar akibat persaingan dengan madunya yang lebih jelita Siti Sarah. Hilanglah kesedihan jiwanya akibat perpisahan dengan suaminya Nabi Ibrahim AS.

Benarlah, bila Allah ada di hati kita akan memiliki segala galanya. Tetapi bila Allah tiada di hati kita akan hilang segala galanya.

Begitulah perjalanan hati ini menuju Allah. Yang menghalangnya ialah hati kita sendiri. Hati yang masih tebal dengan cinta dunia dan manusia.

Hati yang begitu hanya layak menjadi hamba yang hina kepada hawa nafsu. Hati yang sentiasa terpedaya dengan hasutan syaitan. Hati yang menggenggam cinta dunia dan manusia.

Itulah hati yang menjadi milikku sekarang. Di dalamnya bersarang sifat mazmumah. Tahu cinta Allah itu cinta yang utama, tetapi terus tega melayan kehendak nafsu yang hina. Mujahadah selalu kalah. Terus leka menangguhkan ibadah. Sering ada alasan untuk berhelah. Nanti, tunggu, esok masih ada...dan diri terus menerus menumpuk dosa. Tahu mati boleh datang tiba tiba, tetapi sikap dan perlakuan menunjukkan seolah olah diri tidak akan mati selamanya!

Namun, Allah sayang, dan masih tidak berpaling. DiberiNya ujian untuk kita kembali. Mana kecintaan kita? Mana kesayangan kita? Maka dari arah itulah datang ujian ujiannya. Tidak sekali tetapi berkali kali. Allah akan berterusan menguji kerana Allah tidak jemu menyayangi.

Makkah adalah medan ujian sebuah keluarga. Haji mahupun umrah berlatarkan ujian yang menimpa sebuah keluarga.

Ujian yang menimpa Nabi Ibrahim, seorang suami dan bapa. Ujian yang menimpa Siti Hajat, seorang isteri dan ibu. Dan ujian yang menimpa Nabi Ismail seorang anak.

Daripada ujian-ujian itulah datangnya rukun- rukun dalam ibadah haji dan umrah. Tawaf, Saie, melontar jamrah dan Qurban semuanya bermula dengan perintah Allah kepada mereka bertiga.

Kredit: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi



 

Kawasan Tanah Perkuburan Jannatul Baqi, Madinah

Kawasan Tanah Perkuburan Jannatul Baqi, Madinah Rujukan lokasi tanah perkuburan sebagai panduan semua Kredit : Penulis